Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia buat semua,
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat menyambut hari 1 Malaysia 16 September yang lepas!
Alhamdulillah dengan nikmat Allah s.w.t yang tidak terhingga buat saya dan keluarga kerana diberi kesempatan untuk bersama lagi. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w berserta ahli keluarga baginda, para sahabat, tabiin, tabi' tabiin dan seluruhnya.
Sekadar cerita ringkas yang ingin dikongsi bersama bermula pada akhir bulan September dan bulan Oktober seterusnya menjadi minggu peperiksaan percubaan mahupun peperiksaan besar buat semua pelajar baik pelajar yang mengambil UPSR, PMR, SPM dan penuntut di universiti IPTA dan IPTS. Kini tiba kemuncak kepada setiap sesi pembelajaran adalah menguji sejauh mana tahap pelajar faham dengan ilmu yang disampaikan. Berdasarkan dari tajuk entri, telah bermula minggu peperiksaan buat saya dan rakan-rakan di UUM. Mungkin ada yang pelik sedikit sebab kebanyakkan IPT baru sahaja menghabiskan sesi pembelajaran. Tapi tidak bagi kami pelajar Sarjana/Master tak sama dengan adik-adik dari peringkat sekolah, diploma ataupun ijazah.
Di sini, adalah jadual peperiksaan saya sepanjang tahun ini. Kemungkinan, untuk meng'update' blog agak terbatas. Namun, saya cuba usahakan sebaik mungkin mengulangkaji pelajaran dalam mood hari raya. huhu..
19 Sept 2010 (10-1 petang) : Information Systems Control & Audit
26 Sept 2010 (10-12 tengahari : International Financial Management
Dec 2010 : Certified Financial Planner Modul 1
Dibawah ini saya ingin berkongsi tip persediaan menghadapi peperiksaan:
1. Semak jadual
Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar. Jadual pembelajaran dibuat meliputi semua topik membolehkan pelajar mengulangkaji semua matapelajaran yang diambil supaya tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari. Selain itu mengulangkaji secara berterusan pada minggu-minggu terakhir ini membolehkan pelajar membiasakan diri dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan terhadap pelajaran yang diulangkaji kekal dan berpanjangan.
2. Merancang persiapan peperiksaan
Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa hari ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan. Selain di sekolah dan rumah, seharusnya pelajar mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu mengingati semula apa yang telah dipelajari.
Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit.
Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.
Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda seperti kismis dan vitamin yang berasaskan ginkgo biloba.
Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke tempat peperiksaan dijalankan. Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan pelajar panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.
Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.
Ketika berada dalam dewan peperiksaan, duduk dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, tarik nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.
Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.
Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.
Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah. Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.
3. Berdoa dan bertawakal
Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.
Insyallah kejayaan sentiasa ada untuk orang yang terus berusaha. Selamat maju jaya!